Kerjaya Faizal Ismail

Radio

Kerjaya pertamanya menjadi penyampai radio Era dari 1998 hingga 2003. Beliau merupakan antara barisan penyampai terawal Era termasuk Halim Othman, Khairil Rashid, Linda Onn, David Low, Seelan Paul, Jamal Jamaluddin, Nadira Azizan, Kudsia Kahar, Subarma Mokhtaruddin dan Najman Mohamed. Kemudian beliau menceburi radio di bawah Media Prima sebagai penyampai radio Hot FM pada tahun 2006 hingga 2013. Beliau digalaskan tugas yang agak berat iaitu sebagai penyampai radio rancangan pagi. Beliau merupakan suara pertama dalam radio Hot FM bersama Fara Fauzana dalam rancangan pagi Hot FM iaitu Hot FM AM Krew. Gandingan serasi mereka telah memberikan impak hebat di mana rancangan Hot FM AM Krew mencapai rating 3.8 juta pendengar purata mingguan sekali gus menjadikan rancangan ini sebagai rancangan terbaik radio. Kemudian mereka berdua digandingkan dengan AG dan Usop Wilcha dan kemudiannya digandingkan bertiga semula, Faizal, Fara Fauzana dan AG Selamat. Pada tahun 2013, Faizal Ismail telah menamatkan kerjaya penyampai radio di Hot FM.

Sejak 2017, beliau mengendalikan rancangan radio beliau di Facebook.[2]

Muzik

Beliau juga berjinak-jinak dalam bidang nyanyian apabila beliau bergandingan bersama teman seangkatannya di Era FM, Khairil Rashid dan menubuhkan kumpulan Khafi dan mengeluarkan album pertama yang bertajuk Satu Jengkal pada 2006, dengan lagu-lagu hits seperti "Kisah Kau dan Aku", "Tiada Yang Kedua" dan "Fantasia Cinta".

Beliau juga berkolaberasi dalam album Hangatnya Raya Hot FM dengan lagu "Salam Lebaran" bersama penyanyi tanah air tersohor dan lagu raya berjudul "Tiba" bersama Shahir dan Faizal Tahir.

Televisyen dan filem

Bagi melengkapkan porrfolio kerjayanya, Faizal menceburi bidang lakonan dengan membintangi drama sitkom Pemanduku Jutawan arahan Aziz M. Osman yang bersiaran di TV3. Beliau membuat kemunculan filem pertama menerusi filem Mamak Cupcake lakonan Shaheizy Sam.